Sekali imbas, koleksi ini kelihatan mudah. Lebih-lebih lagi, binaan susunan katanya yang sederhana, tiga patah kata sebaris. Menerusi binaan kata yang terhad, kesegaran timbul dalam keceriaan menikmatinya memandangkan pantun ini akan memberikan rentak yang pantas apabila dibaca. Sungguhpun begitu, darjah kesukaran koleksi ini terletak pada teknik penerangan dalam menjelaskan konsep-konsep yang diutarakan terhadap lima tema utama; agama, akhlak, keluarga, kehidupan dan umum yang sebahagian besarnya adalah kompleks dan abstrak sifatnya. Dalam menerangkan tentang konsep ‘Islam’ dalam pantun kelapan umpamanya, Pak Nazel memberikan penerangan di bahagian maksud pantun itu sebagai, “Jadi Islam mukmin, Ikut perintah Allah.” Dalam kata lain, sebagai seorang Islam yang mukmin maka segala pemerintah Allah perlu dipatuhi. Dalam pantun ke-106 pula, konsep ‘neraka’ diterangkan melalui lakaran bahagian maksud pantun itu sebagai, ‘Orang tidak beriman, terus masuk neraka’. Begitu mudah, ringkas, padat dan tepat sekali bagi memberikan keterangan yang signifikan tentang neraka. Selari dengan ini, konsep ‘merdeka’ dalam pantun ke-432 dinukilkan Pak Nazel sebagai, ‘Negara sudah merdeka, Rakyat hidup sejahtera’. Teknik penerangan menerusi pantun inilah yang memberi kekuatan dan kelebihan buat koleksi pantun ini. Dengan cara ini, Pak Nazel berjaya memberikan suatu inovasi ke atas teknik pengajaran bagi diaplikasikan dalam memberi penjelasan ke atas sesuatu konsep yang kompleks dan abstrak menerusi pantun seiring dengan kemajuan pendidikan di alaf milenium ini. Sehubungan itu, pantun Melayu warisan silam masih signifikan berfungsi dalam kehidupan kontemporari buat berhibur dan pengenalan jati diri masyarakat pemiliknya serta sebagai teknik pengajaran dalam pendidikan. Atas semangat inilah Pantun Pak Nazel: Warkah Didikan ini dihidangkan buat tatapan khalayaknya.
A Book